Kejayaan meraih kejuaraan liga yang dilakukan Manchester City disifatkan oleh David Silva sebagai sesuatu yang "sangat istimewa" dalam kariernya selepas menghadapi masalah kelahiran pramatang anaknya.

City menundukkan Tottenham Hotspur 3-1 pada awal pagi semalam untuk meneruskan usaha The Citizens dan kekalahan Manchester United pada lewat malam tadi mengesahkan kejuaraan liga pertama Pep Guardiola sejak tiba di Etihad.

Silva menjadi kunci utama pasukannya dengan penampilan hebat dalam setiap perlawanan sehingga dicalonkan untuk anugerah Pemain Terbaik Tahunan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional (PFA).

Walaupun rakan sepasukan, Kevin De Bruyne, serta Mohamed Salah dari Liverpool dijangka merebut anugerah itu, pencalonan Silva memberikan makna besar buatnya, terutama selepas melalui detik sukar bersama keluarga.

Anaknya, Mateo, dilahirkan pramatang pada Disember tahun lalu dan terpaksa bertarung untuk hidup, membuatkan pemain tengah itu diberikan kebenaran untuk terkecuali daripada sesi latihan dan perlawanan demi bersama keluarganya di Valencia.

Pada Mac lalu, Guardiola mengesahkan Mateo semakin baik dan selepas City disahkan menjuarai liga, Silva berterima kasih kepada semua yang menyokong di sepanjang tahun yang sukar buatnya sambil meletakkan gambarnya mendukung anaknya.

"Kejuaraan liga ketiga tetapi kali ini yang paling istimewa," katanya menerusi laman Twitter peribadi.

"Terima kasih semua kerana menyokong saya sepanjang tahun!"