EVERTON 0 LEICESTER CITY 1

Pengurus Everton, Marco Silva, tidak faham mengapa pasukannya perlu beraksi gugup ketika mereka tewas 0-1 kepada Leicester City dalam Liga Perdana Inggeris, malam tadi.


Everton kini hanya memenangi satu daripada lapan perlawanan terakhir mereka selepas Jamie Vardy meledak gol kemenangan Leicester dalam babak kedua di Goodison Park.

Jaringan itu terhasil susulan kesilapan pemain pertahanan, Michael Keane, dan Silva berasakan tiada sebab untuk pasukannya beraksi seperti itu.

Pengendali Everton itu akan mengkaji penyebab utama pasukannya beraksi buruk selepas mereka kerap melakukan kesalahan di bahagian pertahanan dan tidak lancar sewaktu menyerang.

"Ia keputusan yang mengecewakan daripada prestasi yang buruk," katanya kepada Sky Sports.

"Sejak dari minit pertama, kami tahu apa yang Leicester mampu lakukan.

"Ia amat mudah untuk difahami.

"Mereka akan menggunakan formasi 4-5-1, menyekat ruang dan menunggu kami melakukan kesalahan.

"Kami dapat mengawal babak pertama, namun apabila kami mendapat bola, kami mula gugup tanpa sebab.

"Saya berasakan pemain kami terganggu dalam perlawanan ini.

"Mereka seakan-akan tidak mempunyai impian dan terlalu gugup dalam kebanyakan aksi.

"Setiap kali kami cuba melakukan serangan, kami akan kehilangan bola.

"Perlawanan ini amat membingungkan.

"Kami tidak dapat beraksi seperti yang sepatutnya.

"Apabila anda bermain dengan keadaan seperti itu, anda akan melakukan kesilapan yang mudah.

"Ia sama seperti ketika kami bolos.

"Mereka melakukan serangan balas pantas dan Vardy menyudahkannya.

"Ia sepatutnya keadaan yang mudah untuk dikawal Keane.

"Tekanan seperti itu tidak normal dalam bola sepak.

"Kami perlu mencari punca utama ia terjadi," katanya.