Silva berlatih berasingan menjelang aksi ujian dengan England

By Dom Farrell 14 November 2016 149
Silva berlatih berasingan menjelang aksi ujian dengan England
Pemain perancang Sepanyol, David Silva, menjalani latihan berasingan daripada rakan sepasukannya dalam persediaan terakhir mereka, dengan khidmat bintang Manchester City itu dalam keraguan untuk aksi persahabatan menentang England di Wembley. 

Sesi latihan terbuka skuad kendalian Julen Lopetegui itu berjalan lancar menjelang aksi di London itu, kecuali Silva yang menjalani latihan berasingan bersama kakitangan skuad Sepanyol yang lain. 

Tonggak tengah City itu menamatkan aksi 90 minit ketika mengetuai skuad La Roja membenam Macedonia 4-0 dalam perlawanan Kelayakan Piala Dunia tatkala Lopetegui dalam sidang akhbar terbarunya tidak mendedahkan punca sebenar Silva berlatih berasingan. 

"Kita akan lihat esok," ujar beliau. "Kami mempunyai tempoh 24 jam untuk kami menilai keadaan semua pemain. 

"Kami sudah mempunyai perancangan, tapi kami akan mengetahui senario yang lebih tepat esok dalam menentukan barisan kesebelasan pemain. 

"Orang pertama yang akan mengetahui sebarang rombakan adalah pemain itu sendiri. Sudah tentu, mereka akan mengetahuinya apabila kami mengumumkan barisan skuad untuk perlawanan malam esok."

Silva sudah beraksi sebanyak 105 kali untuk negaranya dengan menyumbat 28 gol. Pemain berusia 30 itu menjadi nadi buat City musim ini yang kini dibimbing Pep Guardiola dan mereka akan menghadapi Crystal Palace dalam saingan Liga Perdana Inggeris, hujung minggu ini. 
 

About Author

Dom Farrell

Comment