Thibaut Courtois menghamburkan pujian kepada Antonio Conte yang berperanan mengubah nasib Chelsea sehingga muncul sebagai pencabar utama Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini7.

Chelsea bergelut musim lalu dan mengakhiri kempen di tangga ke-10, sebaliknya The Blues berpeluang untuk menjuarai EPL musim ini.

Skuad kendalian Conte itu mengumpul 59 mata hasil daripada 24 perlawanan, mereka mengungguli carta dengan kelebihan sembilan mata ke atas seteru terdekat, Tottenham Hotspur, dan Courtois berasakan kebangkitan mereka didorong oleh ketibaan pengurus Itali itu.

"Adalah bagus anda memiliki seorang pengurus yang sangat mendesak," kata penjaga gol itu kepada Sky Sports.

"Anda perlu berada di tahap terbaik setiap minggu, itulah yang menjadikan anda seorang juara.

"Kalau anda mempunyai seorang pengurus yang tidak begitu berkemahuan tinggi, ada kalanya anda akan tenang dan tewas."

Courtois memainkan peranan utama bersama Chelsea musim ini, namun dia belum berpuas hati dengan tahap persembahannya dan berazam untuk terus meningkatkan keupayaannya.

"Saya mahu terus meningkatkan prestasi demi mencapai tahap tertinggi," tambahnya.

"Saya berada di tahap yang sangat bagus ketika ini tapi saya tahu saya boleh terus meningkat dalam semua aspek.

"Setiap hari, semuanya boleh ditingkatkan demi mencapai kesempurnaan dan itulah yang saya cuba lakukan.

"Ketika saya berada di Belgium, saya kerap membuat hantaran pendek. Di Atletico Madrid, jurulatih lebih menggemari hantaran jauh. Jadi, anda boleh terlupa untuk bermain dengan hantaran pendek.

"Mungkin itulah peningkatan prestasi yang perlu diutamakan."