Pengurus Swansea City, Paul Clement, menolak cadangan penghijrahan Gylfi Sigurdsson walaupun pemain itu telah meluahkan keinginannya untuk beraksi untuk kelab elit Eropah.

Clement memberikan pujian kepada khidmat yang dipamerkan oleh Sigurdsson, dengan menyatakan dia memiliki kualiti yang sama seperti pemain-pemain Real Madrid, Chelsea dan Bayern Munich.

Sigurdsson membalas pujian tersebut dengan menyatakan "ia merupakan impian saya beraksi untuk antara kelab gergasi di Eropah".

Pemain berusia 27 tahun itu memberitahu Goal.com bahawa dia berharap untuk menerima lampu hijau bagi meninggalkan Swansea dalam masa terdekat tetapi Clement menegaskan Sigurdsson memberikan komitmen sepenuhnya untuk membantu The Swans mengelak penyingkiran daripada Liga Perdana Inggeris (EPL).

"Saya berpendapat ia adalah satu impian yang baik buat seorang pemain untuk beraksi di pentas tertinggi. Saya tidak memiliki masalah dengan perkara itu," kata Clement.

"Sigurdsson adalah seorang pemain bermotivasi tinggi dan mahu memastikan kelab terus kekal di dalam liga.

"Setiap hari di dalam sesi latihan, dia mempamerkan kualiti dimilikinya yang bertaraf dunia."

Swansea, kini menduduki tangga ke-17 EPL, bakal menerima kunjungan Middlesbrough pada Ahad dan berharap untuk memungut tiga mata penuh.