Sheffield Wednesday membuat aduan kepada Liga Perdana berhubung tindakan Newcastle United melantik Steve Bruce sebagai pengurus.

Bruce diumumkan sebagai pengganti kepada Rafael Benitez di St. James' Park, Rabu lalu sementara Steve Agnew dan Stephen Clemence sah akan bertindak sebagai pembantunya.

Wednesday berang berikutan berita itu diumumkan secara terbuka sedangkan mereka mendakwa masih ada "perkara luar biasa yang perlu diselesaikan di antara kedua-dua kelab, kakitangan dan Newcastle United".

Lantas, kelab Liga Kejuaraan berkenaan membuat aduan kepada Liga Perdana untuk memulakan penyiasatan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, mereka berkata: "Berikutan pengumuman Newcastle United mengenai pelantikan bekas kakitangan Sheffield Wednesday, Steve Bruce, Steve Agnew dan Stephen Clemence pada 17 Julai 2019 lalu, kami mengesahkan bahawa kami telah membuat aduan kepada Liga Perdana mengenai tindakan Newcastle United.

"Oleh itu, Liga Perdana kini akan memulakan dan menjalankan siasatan ke atas pertuduhan tersebut. Kami tidak akan mengulas lanjut mengenai perkara ini tatkala siasatan sedang dijalankan."

Bruce baru selesai berkunjung ke China untuk memantau aksi Newcastle melawan Wolves dan West Ham dalam Trofi Liga Perdana Asia.

The Magpies akan menentang Preston North End dalam perlawanan persahabatan pra-musim di Deepdale, London, Sabtu ini.