Bekas kapten Manchester United, Gary Neville, berkata Luke Shaw perlu bertindak seperti seorang dewasa dan mempertingkatkan mutu permainannya di Old Trafford.

Shaw dan rakan sepasukan, Chris Smalling, dikritik oleh Jose Mourinho selepas tidak beraksi dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris berdepan Swansea City yang berkesudahan 3-1, dengan pengurus United itu mempersoalkan kekuatan mental mereka untuk menghadapi perlawanan.

Sejak tiba dari Southampton, Shaw dibelenggu masalah kecederaan musim lalu, terlepas aksi sepanjang musim apabila mengalami kecederaan patah kaki ketika bertemu PSV Eindhoven dalam aksi Liga Juara-Juara.

Neville menggesa pemain berusia 21 tahun itu supaya mencari jalan penyelesaian mengenai masalah yang dihadapinya.

"Luke memiliki perwatakan yang rumit," kata Neville kepada Sky Sports. "Dia masih muda, dia perlu bangkit untuk mempertingkatkan kebolehannya daripada segi fizikal dan mental.

"Dia merupakan pemain yang berbakat tetapi masalah kecederaan yang pernah dialaminya secara tidak langsung melemahkan kekuatan mentalnya."