Luke Shaw berkata Manchester United akan berwajah baru musim ini sambil memberi amaran kepada juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City dan Liverpool.

The Red Devils mengharungi kempen 2018-19 yang tidak dapat dilupakan apabila menamatkan saingan di kedudukan keenam, 32 mata di belakang City dan 31 mata di belakang Liverpool.

Jose Mourinho dipecat Disember lalu sebelum United beralih kepada Ole Gunnar Solskjaer secara sementara sebelum dilantik secara kekal menerusi perjanjian selama tiga tahun, Mac lalu.

Berikutan musim tanpa trofi selain tercicir dalam pertembungan Liga Juara-Juara (UCL) dan Liga Europa yang melibatkan kelab-kelab Inggeris, pertahanan itu bertekad untuk mengembalikan United ke puncak EPL.

"Ia sangat pahit untuk ditelan dan sukar untuk kami menikmati percutian," katanya.

"Apabila anda melihat kepada perlawanan akhir UCL dan Liga Europa, kesemuanya membabitkan kelab Inggeris. Ini membuatkan anda berasa lebih teruk, lebih-lebih lagi cara perlawanan akhir itu berakhir.

"Saya fikir itulah sebabnya kami semua kembali dengan pemikiran yang berbeza. Kami berehat untuk mengosongkan minda tetapi kini kami semua perlu memberi tumpuan untuk mengembalikan United di landasan sebenar dan tidak lagi memberi laluan mudah kepada pasukan yang beraksi dalam final (UCL dan Liga Europa).​​"

Shaw menambah: "Musim ini kami pasti akan menjadi United yang baru, mereka (City dan Liverpool) tidak akan mendapat laluan semudah musim lalu. Orang ramai mungkin meragui kemampuan kami dan mereka boleh terus beranggapan sebegitu.

"Kami tahu keupayaan dimiliki dan kami akan menempuhi musim yang lebih baik. Kempen ini akan menjadi United yang baru, khususnya dengan idea-idea baru yang dibawa oleh pengurus."

Selepas menandatangani Aaron Wan-Bissaka dan Daniel James, skuad bimbingan Solskjaer itu memperagakan prestasi mengagumkan dalam kempen pra-musim menerusi kemenangan ke atas Perth Glory, Leeds United dan Inter.

United -- yang dikaitkan dengan pertahanan Leicester City, Harry Maguire, dan bintang Sporting CP, Bruno Fernandes -- akan menghadapi Tottenham di Shanghai, Khamis ini.

"Kami banyak memperbaiki soal pendekatan taktikal, bijak memberi tekanan mengenai detik yang tepat untuk melancarkannya," katanya.

"Selain itu, kami mahu lebih banyak menguasai bola. Pengurus menerapkan permainan yang bermula di bahagian pertahanan.

"Ketika kami menghadapi Inter, kami kelihatan jauh lebih baik daripada jangkaan buat sementara waktu ini.

"Musim lalu, kami acap kali gagal menyimpan bola dengan cukup baik dan ketika ini, kami akan memberi tekanan yang lebih jitu.

"Sebagai pasukan, kami tahu apa yang dituntut pengurus. Saya tidak ragu-ragu lagi bahawa kami akan menyerlah dalam perlawanan pertama musim ini."