Xherdan Shaqiri gembira dapat bergandingan dengan Mohamed Salah selepas menyempurnakan perpindahan ke Liverpool.

Bintang Switzerland itu mengenali Salah ketika mewakili Basel walaupun mereka tidak sempat bermain bersama di kelab itu.

Salah tiba selepas Shaqiri meninggalkan kelab itu tetapi pemain kebangsaan Mesir itu akan bersaing dengan pemain berusia 26 tahun itu kerana beraksi di posisi yang sama.

Selepas melengkapkan perpindahan bernilai GBP13.75 juta (RM73.70 juta) daripada Stoke City, Shaqiri berkata dia tidak sabar untuk bekerjasama dengan Salah.

"Saya tidak begitu mengenalinya tetapi dia telah berlatih dan menjalani ujian ketika saya bersama Basel," kata Shaqiri.

"Dia telah berlatih bersama saya dua hingga tiga minggu sebelum saya menyertai Bayern Munich.

"Saya sangat gembira dapat bergandingan dengan Salah. Dia memiliki musim yang cemerlang pada 2017-18 dan saya berharap dapat melakukannya juga tahun ini."

Shaqiri memenangi Liga Juara-Juara (UCL) ketika bersama Bayern serta memenangi Liga Super Switzerland di Basel dan meletakkan sasaran untuk meraih lebih banyak gelaran bersama skuad kendalian Jurgen Klopp itu.

"Saya mahu memenangi lebih banyak gelaran -- itu sasaran saya. Saya mengetahui cara untuk menang ketika bersama Bayern."