Pemain sayap Stoke City, Xherdan Shaqiri, berharap dia dapat kekal beraksi dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Shaqiri menjaringkan lapan gol pada musim lalu tetapi gagal mengelakkan pasukannya daripada diturunkan ke saingan Liga Kejuaraan.

Bekas pemain Bayern Munich berusia 26 tahun itu disingkirkan daripada saingan Piala Dunia 2018 setelah tewas 1-0 di tangan Sweden di St Petersburg, Selasa lalu, yang membuatkan fokusnya kini kembali ke peringkat kelab.

"Ketika ini, saya tidak boleh memberitahu apa-apa. Anda akan mendengar tentang masa depan saya tidak lama lagi," katanya.

"Saya tidak memikirkan tentang perkara ini kerana sebelum ini hanya fokus kepada Piala Dunia dan mahu mengharungi kejohanan yang baik bersama pasukan negara. Apabila anda menarik perhatian kelab lain, itu perkara biasa.

"Kadangkala, ia tidak bergantung kepada saya. Sudah pasti saya mahu beraksi di pentas tertinggi dalam bola sepak. Semua orang tahu tentangnya.

"Saya berharap dapat kekal dalam EPL. Anda tidak akan tahu dalam bola sepak dan saya tidak menafikan sebarang perkara."