Xherdan Shaqiri percaya Liverpool mampu melangkah lebih jauh dan memenangi Liga Juara-Juara (UCL) musim ini.

Liverpool membuat kejutan untuk mara ke final UCL, Mei lalu, bagaimanapun tersungkur dalam perlawanan kmuncak yang menyaksikan Gareth Bale meledak dua gol untuk kemenangan 3-1 Real Madrid.

Shaqiri -- tiba dari seteru Liga Perdana Inggeris (EPL), Stoke City, yang tersingkir ke divisyen bawah -- pernah bermain di peringkat Eropah bersama Basel, Inter Milan dan Bayern Munich dengan dinobatkan juara pada 2013.

Justeru, bintang Switzerland itu memasang impian untuk merangkul kejuaraan bersama kelab Merseyside itu.

"Saya harap saya dapat mengulanginya kerana saya tahu bagaimana perasaannya memenangi UCL," kata Shaqiri kepada Sky Sports News.

"Ia benar-benar luar biasa dan saya fikir kami boleh melakukannya, kami mempunyai kualiti yang baik -- khususnya dengan kehadiran pemain baru yang dibawa masuk -- mereka mempunyai kualiti yang sangat baik. Saya menaruh harapan untuk musim baru ini dan saya harap kami dapat memenangi gelaran.

"Saya fikir perkara penting adalah untuk berjaya dan untuk itu, anda perlu memenangi beberapa gelaran dan trofi, saya harap kami boleh menjulang beberapa trofi musim ini."

Shaqiri turut mengakui bahawa Jurgen Klopp merupakan sebab utama dia menandatangani kontrak dengan Liverpool kerana pernah berdepan dengan pengurus berbangsa Jerman itu yang mengemudi Borussia Dortmund dalam saingan Bundesliga selain ditumpaskan Bayern dalam final UCL 2013 di Wembley.

"Sebaik saya mendapat tahu mereka mahu saya datang, saya ingin berpindah ke sini kerana sudah lama saya mengenali beliau (Klopp). Saya amat mengagumi beliau buat sekian lama dan saya sangat gembira untuk berada di sini.

"Jurgen Klopp merupakan seorang dan watak hebat dengan mentaliti kemenangan, itulah yang paling penting."