Manchester United telah mencapai persetujuan untuk menandatangani pemain tengah Shakhtar Donetsk, Fred.

Dengan Michael Carrick bersara dan masa depan Marouane Fellaini masih belum ditentukan, United mengambil keputusan untuk menawarkan kontrak kepada pemain berusia 25 tahun itu yang dilaporkan bernilai GBP52 juta (RM277 juta).

Satu kenyataan yang dikeluarkan menerusi laman web rasmi United menyebut: "Manchester United ingin mengumumkan bahawa kelab telah mencapai persetujuan dengan Shakhtar Donetsk untuk perpindahan Frederico Rodrigues de Paula Santos.

"Pengumuman lebih lanjut akan dibuat."

Fred –- hadir sebagai pemain gantian ketika Brazil melakar kemenangan 2-0 ke atas Croatia dalam aksi persahabatan di Anfield -- turut dikaitkan dengan juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City pada Jauari lalu.

Berhijrah pada 2013 daripada kelab Brazil Internacional, Fred membantu gergasi Ukraine, Shakhtar merangkul tiga kejuaraan liga, beraksi dalam 155 perlawanan dan menjaringkan 15 gol.

Dia dijangka menyertai pertahanan Porto, Diogo Dalot di Old Trafford sementara pemain sayap Real Madrid, Gareth Bale dan pemain tengah Paris Saint-Germain (PSG), Marco Verratti, turut dilaporkan sebagai sasaran United.