Pengurus Leicester City, Craig Shakespeare, kekal positif selepas perpindahan bintang Portugal, Adrien Silva, mengalami masalah untuk pendaftaran.

Leicester berjaya mendapatkan khidmat Adrien dari Sporting Lisbon menerusi perpindahan bernilai EUR29.5 juta (RM147 juta) pada jam terakhir jendela perpindahan.

Bagaimanapun, skuad The Foxes dilaporkan terlepas 14 saat waktu penutup dan kini segala-galanya terserah kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Persatuan Bolasepak England (FA) serta bahagian undang-undang pasukan.

Adrien telah berlatih bersendirian ketika Leicester cuba untuk menyelesaikan masalah tersebut dan Shakespeare tidak akan berputus asa untuk terus cuba memastikan isu itu selesai.

"Menjadi tugas saya untuk sentiasa tahu mengenai perkembangan perkara itu. Saya mahukan khidmat Adrien, mahu dia sertai pasukan, jadi menjadi tanggungjawab saya untuk sentiasa bertanya tentang perkara itu," katanya.

"Setiap kali saya berbual dengan Adrien, saya dapat rasakan hati kecilnya tidak sabar mahu beraksi buat Leicester. Dia mahu perkara itu diselesaikan segera.

"Jelas sekali dia kecewa tetapi faham dan akur dengan peraturan yang ditetapkan."