LEICESTER CITY 1 WEST BROM 1

Pengurus Leicester City, Craig Shakespeare, berasa lega melihat sentuhan sebenar Riyad Mahrez sudah kembali selepas seri 1-1 dengan West Brom dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di tempat sendiri, awal pagi tadi.


Pemain antarabangsa Algeria itu meledak gol pertamanya musim ini untuk memadamkan gol sepakan percuma Nacer Chadli untuk mereka berkongsi mata di Stadium King Power.

Mahrez bergelut dengan prestasi musim ini ekoran kegagalan langkah perpindahan yang tidak menjadi kenyataan pada musim panas lalu sehingga dipinggirkan ketika seri tanpa jaringan dengan Bournemouth sebelum perlawanan antarabangsa, tempoh hari.

Shakespeare berasakan pemain sayap itu telah membalas segala kritikan yang dilemparkan dengan berkata kepada BBC Sport: "Saya merehatkannya ketika bertemu Bournemouth, ia memberi kesedaran dan dia cemerlang dalam sesi latihan. Saya mahu dia memberi tindak balas dengan cara yang betul."

Dalam perlawanan awal pagi tadi, Leicester ketinggalan kepada West Brom yang melancarkan serangan tepat sulung untuk mendahului pada minit ke-63, namun Shaespeare bangga melihat skuad kendaliannya berjuang untuk meraih satu mata.

"Apabila anda menguasai perlawanan, kemudian ketinggalan satu gol, anda sentiasa khuatir ia akan menjejaskan pemain-pemain, tetapi kami menunjukkan semangat yang ada dan bertindak pantas untuk meraih gol tersebut," katanya lagi.

"Kami boleh menang jika tidak melakukan kesilapan. Saya melihat mereka berlatih setiap hari dari segi kualiti dan usaha. Sebaik kami mencatat kemenangan, saya berharap kami akan mendaki carta.

"Kami sedar apa yang perlu dilakukan dan satu kemenangan akan membantu kami melonjak tiga atau empat anak tangga dan itulah matlamat kami."

Sepakan percuma Chadli itu mengelirukan Kasper Schmeichel dan penjaga gol Denmark itu berasakan tiada apa yang boleh dilakukannya.

"Dari awal lagi, saya tidak dapat melihatnya dengan baik," katanya kepada Sky Sports.

"Ia memerlukan rembatan yang hebat untuk melepasi benteng besar seperti itu. Ia mengecewakan tetapi sebagai penjaga gol, jika anda tidak dapat melihat bola, maka anda bergelut untuk melakukan sesuatu."

Pengurus, Tony Pulis, berasa kecewa terlepas kemenangan dan menuntut pemainnya agar mempamerkan kualiti pada saat getir.

"Ia kerap berlaku tahun ini. Apabila kami mendahului, kami melepaskan peluang itu," katanya.

"Ini liga yang sukar.

"Kami memiliki beberapa pemain yang bagus dan mereka harus menggunakan kesempatan yang ada dengan lebih kualiti.

"Pasukan saya sentiasa bekerja keras dan memberikan aksi terbaik namun kualiti yang kami pamerkan ada kalanya lebih baik. Kami kecewa, namun setiap perlawanan adalah sukar dalam kancah liga ini."