Eden Hazard percaya prestasi mantap Chelsea di gelanggang keramat mereka musim ini menjadikan sesetengah pencabar mereka sudah pun ditundukkan sebelum sepak mula lagi.

The Blues menerajui Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan lapan mat, hasil 11 kemenangan dalam 12 perlawanan musim ini -- rekod yang sama sekali berbeza berbanding musim lalu apabila The Blues hanya mengecapi lima kemenangan di depan penyokong sendiri.

Hazard mengalu-alukan kegerunan yang hadir di Stamford Bridge dengan mendakwa mereka mampu memenangi perlawanan tanpa perlu menampilkan aksi menarik di tempat sendiri.

"Ya, aksi di kubu sendiri sangat penting," katanya kepada London Evening Standard.

"Sukar untuk lawan yang bertandang ke sini mencapai kemenangan.

"Sesetengah pasukan telah pun tewas sebelum sepak mula lagi. Kami beraksi lebih baik berbanding musim lalu. Ia sama seperti ketika kami menjuarai liga, dua musim lalu.

"Saya masih ingat lagi, ketika itu kami tidak menampilkan aksi cemerlang, tapi kami sentiasa dapat menjaringkan sekurang-kurangnya satu gol dan Thibaut Courtois pula akan membuat setidak-tidaknya satu aksi menyelamat, seperti ketika menentang Arsenal."

Hazard turut memuji pengaruh penyokong serta berasakan prestasi cemerlang di tempat sendiri mampu memberi kesan dalam pemburuan mahkota EPL sehingga penghujung musim ini.

"Kami memiliki keyakinan tinggi ketika beraksi di gelanggang ini," tambahnya.

"Saya masih ingat ketika kami ketinggalan semasa menentang Tottenham (Hotspur) musim ini, penyokong kami terus memberi sokongan dan bersorak.

"Ia suasana yang hebat dan kami beraksi sangat selesa di sini.

"Kami sedar apa sahaja bola berlaku dalam bola sepak, tapi kami harus memiliki keyakinan dan ia sangat penting dalam bola sepak."