Pengendali Manchester United, Jose Mourinho, berkata keputusan seri 2-2 menentang Chelsea adalah sesuatu yang menyakitkan selepas Ross Barkley menyamakan kedudukan pada minit ke-96 dalam aksi di Stamford Bridge, semalam.

Dua gol daripada Anthony Martial dalam babak kedua dilihat mampu menghadirkan kemenangan buat skuad kendalian Mourinho itu tatkala United bangkit selepas ketinggalan hasil jaringan pembukaan Antonio Rudiger.

Namun, pemain gantian Chelsea, Barkley, meranapkan impian United di minit terakhir dan gol penyamaan itu mencetuskan suasana kecoh apabila Mourinho menerima provokasi daripada salah seorang staf kejurulatihan The Blues, Marco Ianni.

Isu itu selesai selepas Mourinho menerima permohonan maaf daripada Ianni tetapi pengendali United itu jelas kecewa dengan keputusan yang diraih

"Kami pasukan terbaik di atas padang," ujar Mourinho.

"Jika anda bercakap sebelum perlawanan, satu mata di Stamford Bridge semestinya keputusan bagus kerana sukar buat pasukan lain menang di sini.

"Selepas perlawanan, di mana ia di tempat lawan, ia menyakitkan buat kami dan Chelsea meraih satu keputusan luar biasa."

Dalam masa sama, Mourinho berkata dia tidak faham keputusan pengadil menetapkan jumlah masa kecederaan, apabila menambah: "Saya harap pengadil lain akan melakukan perkara sama seperti Mike Dean, memberikan enam minit. Kebiasaannya, apabila saya kalah, saya tidak pernah menerima lima atau enam serta tujuh minit."

Sidang media selepas perlawanan juga menyaksikan Mourinho ditanya sama ada dia gembira dengan persembahan pemainnya dan dia membalas: "Segalanya.

"Saya rasa apa yang membuatkan Chelsea tercabar adalah kerana kami mengawal mereka dan realitinya, kami dibolosi hasil daripada situasi bola mati dan bukan dalam gerakan permainan.

"Kami mengawal mereka dengan baik. Saya rasa kami layak menerima keputusan yang lebih baik berbanding apa yang diraih.

"Jika pemain United fokus kepada prestasi, mereka pasti akan gembira dengan diri sendiri dan jika terlalu memikirkan keputusan, mereka akan kecewa."