ENGLAND 2 SEPANYOL 2

Perlawanan keempat England di bawah kendalian pemangku jurulatih, Gareth Southgate, hampir mencetuskan keputusan dramatik sebelum Sepanyol menjaringkan dua gol pada babak akhir permainan untuk meraih keputusan seri 2-2 di Wembley.


England kelihatan bakal mengakhiri aksi persahabatan itu dengan kemenangan, namun jaringan Iago Aspas dan Isco pada minit ke-89 dan 96 mengelak maruah skuad La Roja daripada tercalar.

Aspas, yang membuat kemunculan sulung, melencongkan bola di sebelah kiri sebelum Isco mengikat kedudukan dengan menghantar bola ke dalam gawang menerusi celah kaki penjaga gol gantian, Tom Heaton.

Terlebih dahulu, England berada di depan menerusi Adam Lallana yang menyempurnakan sepakan penalti dan Jamie Vardy melebarkan kedudukan buat England dengan aksi tandukan terbang.

Sepanjang empat perlawanan di bawah asuhan Southgate, England merekodkan tiga kemenangan dalam empat perlawanan serta mengumpul tujuh mata dalam kempen kelayakan Piala Dunia.

"Ia perlawanan yang menakjubkan, satu usaha yang hebat. Saya sangat berbesar hati melihat bagaimana kami memberi tekanan untuk merebut bola serta menguasai bola dengan baik," kata Southgate kepada ITV Sport.

"Mungkin pada separuh masa kedua, kami mulai kepenatan di mana jika kami menguasai bola dengan baik, ia akan membantu kami untuk menyimpan tenaga.

"Namun, kami berhadapan antara pasukan terbaik dunia, ujian ini satu fenomena dan saya tidak boleh menuntut yang lebih baik lagi.

"Saya tidak mahu bimbang dengan tambahan masa, mungkin kegagalan memenangi perlawanan seperti ini baik buat kami, tapi saya sangat berbangga."

Begitupun, bekas pengurus Middlesbrough itu enggan menyatakan pendiriannya untuk menjawat jawatan idaman itu secara tetap.

"Saya menyukainya tapi bukan saya yang membuat keputusan."

"Saya bangga dengan apa yang telah kami lakukan. Kami diminta untuk mengendalikan skuad ini buat sementara waktu dan aksi pada malam ini cukup istimewa.

"Saya bangga saya mampu mengendalikan perlawanan penting. Saya sedar kemampuan diri saya seperti ketika kami menghadapi Scotland di bawah tekanan tinggi dan cabaran taktikal ketika berdepan Sepanyol.

"Saya menggemari pengalaman ini dan berbesar hati kami mampu memenuhi tuntutan kami."

Keputusan Persatuan Bola Sepak (FA) England yang masih belum membuat keputusan mengenai pengganti Sam Allardyce turut meletakkan Southgate dalam dilema.

Ini kerana dia masih perlu mempersiapkan pasukan bawah 21 (B-21) tahun England bagi kempen pusingan akhir Kejohanan Euro 2016 B-21.