Pep Guardiola mengucapkan "semoga berjaya" kepada Alexis Sanchez yang semakin hampir menyertai Manchester United dalam jendela perpindahan bulan ini.

City telah lama berusaha untuk mendapatkan penyerang kebangsaan Chile itu selepas usaha mereka gagal untuk membawa Sanchez ke Stadium Etihad sejak Ogos lalu lagi.

Pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu dilaporkan telah mencapai persetujuan dengan ejen Sanchez, Fernando Felicevich, untuk berhijrah bulan ini hingga United turut menyuarakan minat mereka.

United menawarkan yuran perpindahan sebanyak GBP35 juta (RM191 juta) berserta pemain kebangsaan Armenia, Henrikh Mkhitaryan, bagi memastikan Sanchez ke Old Trafford sebelum tamat jendela perpindahan bulan ini.

Dalam sidang media menjelang aksi bertemu Newcastle United, Guardiola menafikan beliau kecewa kerana gagal untuk kembali bergandingan bersama Sanchez.

"Buat masa ini, dia masih lagi pemain Arsenal," kata Guardiola.

"Saya berasakan dia akan ke United, jadi saya mengucapkan tahniah kepada mereka. Semoga berjaya di sana."