Penyerang Manchester United, Wayne Rooney, akhirnya memilih untuk meninggalkan Old Trafford dan menyertai kelab asal yang disokong sejak kecil, Everton, selepas 13 tahun bersama juara 20 kali Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Pemain berusia 31 tahun itu bersetuju dengan kontrak selama dua tahun selepas melepasi ujian kesihatan kelmarin.

Rooney meninggalkan Everton pada 2004 untuk menyertai United dengan yuran perpindahan bernilai GBP27 juta (RM150 juta), menyaksikannya menjadi pemain muda termahal dunia ketika itu.

Dia memenangi 12 kejuaraan selama 13 tahun di Old Trafford yang melibatkan lima kejuaraan liga, tiga Piala Liga, satu Piala FA, satu Liga Juara-Juara Eropah (UCL) serta Liga Europa pada musim lalu.

Selepas dinamakan sebagai ketua pasukan pada 2014 oleh Louis Van Gaal, Rooney berjaya memecahkan rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman buat United apabila menjaringkan 253 gol dalam kesemua 559 penampilan.

Musim lalu menyaksikan Rooney banyak memanaskan bangku simpanan dan pengendali United, Jose Mourinho, mengakui sukar untuknya melepaskan bekas ketua pasukan England itu.

“Ia bukan rahsia bahawa saya adalah peminat Rooney sejak sekian lama dan dia merupakan contoh terbaik sepanjang kariernya bersama kelab serta akan kekal di dalam sejarah pasukan,” ujar Mourinho.

“Tidak mudah untuk melihat pemain hebat sepertinya duduk di bangku simpanan dan sebab itu saya tidak boleh menghalang apabila dia menyuarakan hasrat untuk kembali ke Everton.

"Pengalaman, fokus dan keazamannya akan dirindui dan saya mengucapkan selamat maju jaya buat Rooney,” tambah Mourinho.

Penyertaan Rooney dilihat menambah jumlah revolusi baru di Everton selepas mendapatkan Davy Klaassen, Jordan Pickford, Sandro Ramirez dan Michael Keane sebelum ini dalam usaha merebut tempat enam teratas dalam liga.