SOUTHAMPTON 1 LEICESTER 2

Pertahanan Leicester City, Harry Maguire, menggesa The Foxes untuk memulakan persembahan dengan lebih baik selepas mereka meraih kemenangan 2-1 ke atas Southampton dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), semalam.


Skuad kendalian Claude Puel itu meraih dua kemenangan berturut-turut di Stadium St Mary, dengan jaringan Maguire pada minit ke-92 memastikan tiga mata diraih ke atas Southampton.

Southampton mendahului perlawanan menerusi Ryan Bertrand yang membuat penampilan ke-150 bersama kelab sebelum Demarai Gray menyamakan kedudukan.

Pierre-Emile Hojbjerg yang diarah keluar padang selepas cuba melakukan simulasi di dalam kotak penalti memberikan jalan mudah buat Leicester dan Maguire percaya mereka berhak meraih kemenangan.

"Saya berasakan selepas lawan menjaringkan gol, kami bermain dengan lebih baik," katanya.

"Kami bergelut mendapatkan bola dalam separuh masa pertama tetapi kami mendominasi permainan dalam baki permainan. Leicester seharusnya meledak gol lebih awal tetapi ia hadir pada penghujung permainan.

"Selalunya saya menjaringkan gol dengan tandukan tetapi saya berjaya melepaskan rembatan yang kencang bagi memastikan tiga mata diraih pasukan."