Jose Mourinho menganggap kritikan Paul Scholes terhadap pemain Manchester United, Paul Pogba, baru-baru ini mungkin disebabkan oleh rasa cemburu terhadap jumlah pendapatan yang diperoleh pemain antarabangsa Perancis itu.

Scholes, yang pernah mewakili United sebanyak 718 kali dari 1993 sehingga 2013, mengkritik Pogba selepas seri 0-0 dengan Southampton apabila mendakwa dia bukan pemain yang sama seperti di Juventus.

Pemain berusia 43 tahun itu berpendapat Pogba tidak menunjukkan aksi terbaiknya sejak tiba di United, namun dia memainkan peranan dalam kemenangan 2-0 ke atas Everton, awal pagi tadi.

Pogba menjadi watak utama kepada gol Anthony Martial dan Jesse Lingard sehingga mendorong Mourinho mempertahankan anak buahnya itu sambil membidas Scholes.

"Satu-satunya perkara yang dilakukan oleh Paul Scholes ialah mengkritik, ia sesuatu perkara yang berbeza," kata Mourinho kepada wartawan.

"Tidak semua daripada kita akan menjadi pemain luar biasa seperti yang pernah ditonjolkannya. Itu tidak bermakna kita harus menjadi luar biasa.

"Paul Pogba cuba memberikan yang terbaik sepanjang masa dan kadang-kadang dia bermain dengan baik, kadang-kadang tidak.

"Bukanlah salah Paul mengaut wang yang lebih banyak daripada Paul Scholes, itu hanya cara bola sepak.

"Scholes adalah pemain yang luar biasa tetapi bukan sebagai seorang pakar (pemerhati bola sepak). Saya lebih suka melihatnya sebagai pemain hebat yang memberikan banyak kelebihan kepada kelab yang saya banggakan.

"Setiap hari, saya cuba melakukan yang terbaik. Jjika suatu hari nanti Paul (Scholes) memutuskan untuk menjadi pengurus, saya berharap dia berjaya memenuhi 25 peratus kejayaan saya. 50 peratus daripadanya dipenuhi kejuaraan selama 12 setengah tahun, 25 peratus lagi adalah enam (trofi). Jika dia memenuhinya sebanyak 25 peratus, dia akan berasa agak gembira.

"Saya fikir mereka (bekas pemain United yang bekerja sebagai pemerhati bola sepak) suka berada di sini, di kelab ini. Itulah masalah yang saya tidak dapat selesaikan," hujahnya.

Sementara itu, Mourinho mendedahkan penyerang, Romelu Lukaku, bakal berehat seminggu berikutan kecederaan kepala yang menimpanya Ahad lalu.

Lukaku diusung keluar pada awal permainan ketika menghadapi Southampton akibat kekasaran Wesley Hoedt dalam perebutan bola di udara.