Morgan Schneiderlin berkata bos Everton, Ronald Koeman, mampu membantunya untuk mengembalikan rentak terbaiknya selepas bergelut di Manchester United selama 18 bulan.

Pemain berusia 27 tahun itu menyempurnakan perpindahannya ke Goodison Park semalam dengan nilai yang boleh mencecah GBP24 juta (RM130j) untuk bergabung semula dengan bekas pengurusnya di Southampton itu.

Schneiderlin, yang memenangi Piala FA dan Perisai Komuniti bersama United, gagal meyakinkan Louis van Gaal mahupun Jose Mourinho untuk beraksi dalam kesebelasan utama.

Pemain antarabangsa Perancis itu yakin dia mampu melupakan musim suram itu untuk kembali menjalin kerjasama dengan pengurus yang dia faham apa yang perlu dilakukan.

"Everton adalah sebuah kelab besar dalam sejarah bola sepak Inggeris," katanya kepada EvertonTV.

"Saya sentiasa menggemari suasana di stadium ini, saya sentiasa mahu bermain di sini.

"Pengurus di sini mampu membantu saya mencapai tahap terbaik. Saya tahu gayanya dan corak permainan yang diketengahkannya.

"Sudah nyata dia adalah seorang bekas pemain yang hebat. Anda hanya dapat menimba ilmu daripada yang terbaik dan dia memberikan saya nasihat yang berguna untuk meningkatkan prestasi setiap hari.

"Saya amat berbesar hati untuk bekerjasama dengannya dan sudah tidak sabar lagi."

Everton, yang masih bergelut untuk mencapai aksi konsisten di bawah Koeman, ketinggalan sembilan mata di belakang kelompok enam pasukan terbaik selepas 20 perlawanan liga.

Namun, Schneiderlin yang mungkin membuat penampilan sulung ketika menentang Manchester City, Ahad ini, berikrar untuk membantu pasukan itu mencapai potensi mereka.

"Saya idamkan sebuah kelab yang mempunyai cita-cita tinggi kerana itu akan memacu saya untuk datang dan berusaha mencapai sesuatu yang dihajati," katanya.

"Kelab ini mempunyai impian besar dan pengurus telah memaklumkan bahawa proses ini akan mengambil sedikit masa dan saya berharap kami dapat melakukannya segera dan menggembirakan semua orang.

"Saya mahu mencapai keputusan sebaik mungkin dan saya menanam impian besar untuk membantu kelab ini berada di tempat yang sepatutnya dalam bola sepak Inggeris."