Kasper Schmeichel mengakui prestasi Leicester City cukup memalukan musim ini dan berkata pasukan itu perlu bangun daripada tidur jika mahu keluar daripada zon penyingkiran dalam Liga Perdana Inggeris musim ini.

The Foxes tewas buat kali keempat berturut-turut ketika kecundang di tangan Manchester United 3-0 di Stadium King Power.

Kekalahan itu meletakkan mereka satu mata di depan pasukan yang menduduki tempat ke-18 liga, Hull City.

Schmeichel -- yang ditewaskan dengan jaringan Henrikh Mkhitaryan, Zlatan Ibrahimovic dan Juan Mata dalam tempoh kurang 10 minit -- menawarkan pendapat jujurnya mengenai prestasi Leicester City musim ini.

"Kami bermain dengan baik dalam tempoh 40 minit pertama tetapi apa yang berlaku selepas itu tidak boleh diterima," katanya kepada Sky Sports.

"Tidak mengapa jika kamu ketinggalan satu gol tetapi kamu tidak boleh ketinggalan dua gol selang beberapa minit selepas itu.

"Sudah tiba masa setiap seorang daripada kami bangun daripada tidur. Jika tidak, kami akan bersaing dalam Liga Kejuaraan musim depan."

Prestasi semasa Leicester sangat berbeza jika dibandingkan dengan musim lalu apabila mereka muncul juara Liga Perdana Inggeris.

Bagaimanapun, Schmeichel berpendapat, membandingkan kejayaan musim lalu dengan masa kini tidak akan membantu.

"Tidak perlu untuk bercakap tentang musim lalu, saat itu sudah berlalu.

"Musim ini, aksi keseluruhan pasukan tidak memuaskan."

Terdapat laporan mengatakan senario dalam bilik persalinan Leicester tidak lagi seperti musim lalu tetapi Schmeichel menegaskan tiada apa yang berubah.

"Saya tidak akan mengulas tentang spekulasi seperti ini," ujar pemain antarabangsa Denmark itu.

"Walaupun moral kami berada di tahap rendah ketika ini, kami tetap bersemangat untuk berjuang. Kami akan terus berjuang."