Kasper Schmeichel hampir pasti untuk membuat penampilan semula bersama Leicester City dan boleh disahkan berada dalam keadaan cergas untuk menghadapi Stoke City, esok.

Kecederaan patah tangan menyebabkan penjaga gol antarabangsa Denmark itu diketepikan sejak awal November tetapi pengurus, Claudio Ranieri, mempunyai keyakinan yang tinggi bahawa dia dapat menggunakan khidmat penjaga gol itu kembali bagi perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada hujung minggu ini di Stadium bet365.

"Schmeichel menjalani latihan dengan baik hari ini, jadi saya akan menilainya semula," kata Ranieri kepada wartawan.

"Schmeichel mengikuti perlawanan kecil di antara kami semalam. Saya mahu melihat bagaimana reaksinya hari ini tetapi tangannya berada dalam keadaan baik."

Leicester telah mengalami kemerosotan ketika Schmeichel diketepikan, mereka tewas lima daripada lapan perlawanan terakhir dalam semua pertandingan.

Bagaimanapun, kepulangan Schmeichel adalah suntikan semangat yang tepat pada masanya untuk Ranieri, dengan penjaga gol yang berusia 30 tahun itu memainkan peranan penting dalam kejuaraan EPL yang diraih mereka musim lalu.

Sementara itu, pemain tengah, Danny Drinkwater, ditetapkan untuk menjalani ujian kecergasan hari ini kerana dia bergelut dengan masalah lutut.

"Saya juga akan menilai semula Drinkwater pada hari ini," kata Ranieri.

"Dia mengalami sedikit masalah dengan lutut ekoran terkena sepakan ketika beraksi di Porto. Dia cuba untuk meneruskan permianan tetapi kemudian meminta saya untuk melakukan pertukaran."