Saya tidak pernah janjikan apa-apa -- Guardiola

By Patric Ridge 19 March 2017
Saya tidak pernah janjikan apa-apa -- Guardiola

Pep Guardiola mencadangkan media silap untuk mempercayai beliau mampu mengubah Manchester City menjadi kelab yang mampu merangkul gelaran 'treble' serta menegaskan tidak menjanjikan apa-apa ketika menerima tugas ini.

City, yang tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara (UCL) di tangan Monaco pada pertengahan minggu, berdepan Liverpool dalam aksi Liga Perdana Inggeris hari ini untuk mengukuhkan kedudukan dalam kelompok empat terbaik.

Guardiola menjelaskan sebarang masalah yang dihadapi City adalah untuk memahami pendekatan dan gaya permainan yang diterapkannya. Selain itu, harapan yang diletakkan kepada pasukan terlalu tinggi.

"Saya pengurus pasukan. Saya bertanggungjawab di atas apa yang berlaku di Monaco," katanya.

"Mungkin pihak media telah mengeluarkan kenyataan yang salah -- Guardiola sudah berada di City, mereka akan memenangi 'treble'. Senang.

"Anda salah. Saya tidak datang ke sini dan memberitahu kami akan memenangi gelaran, saya tidak pernah menyatakan kami akan bergelar juara 'treble'. Saya tidak pernah mengatakan apa-apa.

"Saya tidak menyatakannya ketika mengendalikan Barcelona. Saya menjanjikan kerja keras daripada pasukan. 

"Jaminan yang boleh saya berikan adalah pasukan akan bermain dengan gaya yang telah ditetapkan.

"Kami perlu mengetepikan apa yang telah berlaku dan memberikan fokus kepada perlawanan akan datang. Satu adalah untuk beraksi dalam UCL musim hadapan dan satu lagi adalah mara ke final Piala FA."

City, yang akan bertemu Arsenal dalam separuh akhir Piala FA, akan meraih kelebihan empat mata ke atas Liverpool jika berjaya menundukkan skuad bimbingan Jurgen Klopp.

About Author

Patric Ridge

Comment