Bintang Chelsea, Eden Hazard, tidak percaya bahawa dia cukup mementingkan diri sendiri bagi memenangi Ballon d'Or.

Pemain antarabangsa Belgium itu berada dalam senarai pendek Ballon d'Or sebanyak tiga kali tetapi walaupun memenangi anugerah Pemain Terbaik Tahunan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional (PFA) 2014-15, dia tidak pernah berada lebih tinggi dari tangga kelapan dalam undian.

Dan Hazard, yang menjaringkan 12 gol dan membuat empat bantuan gol dalam Liga Perdana Inggeris musim ini, percaya personaliti dan gaya permainannya tidak akan membolehkan dia mendapat hadiah utama bola sepak dunia itu, bahkan Kasut Emas.

"Dia sentiasa memberitahu saya mengenainya," kata Hazard kepada BBC Sport tentang kepercayaan bapanya bahawa dia terlalu mementingkan diri sendiri. "Mungkin ia benar.

"Saya fikir, dalam bola sepak sekarang, jika kamu ingin memenangi sesuatu seperti Ballon d'Or atau penjaring terbanyak, kamu perlu bersikap pentingkan diri sendiri. Tetapi saya tidak seperti itu, tidak sama sekali. Saya hanya menjadi diri saya," ujarnya.

Hazard akhir-akhir ini dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid untuk menyertai pemenang Ballon d'Or 2017, Cristiano Ronaldo.