Jurgen Klopp tidak pasti bilakah Loris Karius akan kembali menyarung jersi no.1 Liverpool selepas penjaga gol itu tidak diturunkan dalam kemenangan 3-0 ke atas Middlesbrough.

Selepas melakukan beberapa kesilapan ketara dalam dua perlawanan sebelum ini, Klopp merehatkan Karius dan memilih untuk menurunkan Simon Mignolet.

Berada di bangku simpanan, kekecewaan jelas terpampang di wajah penjaga gol Jerman itu, namun Klopp menegaskan dia masih menaruh kepercayaan terhadap penjaga gol berusia 23 tahun itu.

"Bukan itu caranya, saya tidak memaklumkan bilakah peluangnya akan kembali tiba," jawab Klopp apabila ditanya tempoh Karius akan diketepikan.

"Saya sangat gembira dengan senario melibatkan penjaga gol kami. Kami memiliki dua penjaga gol yang hebat dan seorang penjaga gol yang berpengalaman, Alex Manniger.

"Oleh kerana kami memiliki barisan penjaga gol yang hebat, kerana itulah saya memberitahu bahawa tiada sebab untuk tidak memberi peluang kepada penjaga gol yang lain. Kami mahu membangunkan pemain di sini.

"Loris seorang penjaga gol yang masih muda, dia memiliki fizikal yang kuat dan berbakat besar tetapi saya tidak boleh memberi jangkaan bilakah dia akan kembali beraksi."

Ditanya mengenai reaksi Karius, Klopp menjawab: "Ia satu keputusan yang normal. Inilah bola sepak.

"Ketika kamu tidak berada di saat yang betul, kamu perlu berundur sebentar, berlatih dengan bersungguh-sungguh, pamer kemajuan dan cuba kembali dengan prestasi yang lebih baik.

"Selepas itu, kita lihat apa yang akan berlaku.

"Apa yang berlaku ini bukan satu masalah tetapi sudah tentu bagi seorang pemain, ini adalah saat yang kurang menyenangkan dalam hidupnya."