Paul Pogba tidak mempunyai sebarang masalah dengan Jose Mourinho dan menegaskan masih terlalu awal untuk berbincang mengenai perpindahan walaupun gagal mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama Manchester United kebelakangan ini.

Bergelut mencari sentuhan terbaik, Pogba yang kini bukan lagi pemain tetap dalam kesebelasan United, membantu pasukan meraih kemenangan 2-0 ke atas Swansea City bagi menamatkan tiga perlawanan berturut-turut sebagai pemain gantian.

Mourinho menepis soalan mengenai persembahan Pogba sambil mengarahkan media untuk bertanyakan soalan tersebut kepada pemain itu sendiri.

Masih berteka-teki dengan situasi itu, Pogba yang menyertai United dari Juventus pada Ogos 2016 berkata, "Tiada masalah dengan Mourinho.

"Bukan saya yang membentuk pasukan ini. Tanyalah kepada jurulatih jika ingin mengetahui mengapa saya kurang bermain. Saya menghormati pilihannya.

"Benar, perkara ini tidak pernah berlaku kepada saya (berada di bangku simpanan), ia memberikan kekuatan kepada saya untuk mengharungi kesukaran ini.

"Masih terlalu awal untuk bercakap tentang meninggalkan United," tegasnya.

Pogba sebelum ini meluahkan keinginan untuk bermain dengan Lionel Messi, Cristiano Ronaldo dan Neymar, tetapi tidak merancang untuk menyertai Barcelona, Real Madrid atau Paris Saint-Germain (PSG).

"Neymar? Saya berkata bahawa ia adalah impian saya untuk bermain dengan dia, Messi atau Cristiano, ia tidak bermakna saya mahu menyertai kelab tersebut."