Zlatan Ibrahimovic berpendapat dia telah menawan bola sepak England dalam tempoh tiga bulan selepas menyertai Manchester United.

Penyerang United itu berkata dia tidak berhasrat untuk merangkul anugerah individu, sebaliknya mahu menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

Pemain berusia 35 tahun itu telah mempamerkan aksi mantap sejak berhijrah ke Old Trafford dari Paris Saint-Germain secara percuma awal musim ini apabila meledak 13 gol dan hanya ketinggalan satu gol di belakang penjaring terbanyak, Diego Costa.

Bagaimanapun, Ibrahimovic menegaskan bahawa fokus utamanya musim ini adalah untuk membantu United meneruskan rekod sembilan kemenangan berturut-turut dengan kejuaraan liga menjadi tumpuan utama.

Bercakap menerusi laman sesawang rasmi United, Zlatan berkata: "Tidak, saya bukan mengejar sesiapa. Saya mahukan trofi kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

"Itulah sasaran saya. Anugerah individu hanyalah sampingan kerana ia hanya satu bonus.

"Saya tidak menyasarkan sebarang anugerah individu kerana saya sudah melakukannya, saya telah mendominasi bola sepak England dalam tempoh tiga bulan.

"Kini saya hanya akan melakukan sumbangan terbaik saya, iaitu menjaringkan gol. Selagi saya mampu melakukannya, saya tahu ia akan membantu pasukan ini."