Bekas pengendali Juventus, Fabio Capello, mendedahkan bahawa dia telah membantu Zlatan Ibrahimovic memperbaiki penyudahnya dengan mengarahkan pemain itu menonton video Marco Van Basten.

Ibrahimovic dan Capello telah berkerjasama di Juventus selama dua tahun (2004-2006) di samping muncul juara Serie A dua kali berturut-turut sebelum kejuaraan yang dimenangi ditarik balik susulan kelab Itali itu terlibat dengan skandal mengatur perlawanan.

Bintang Sweden itu kemudiannya meraih kejuaraan bersama Inter, Barcelona, AC Milan dan Paris Saint-Germain.

Capello berkata dia telah membantu pemain berusia 35 tahun itu mengasah ketajaman di hadapan gawang ketika di Juventus dengan bantuan video Marco Van Basten.

"Ibrahimovic memiliki teknik mengagumkan," Capello memberitahu Premium Sport.

"Ketika saya berhijrah ke Juventus, dengan segera saya meminta kelab mendapatkan khidmatnya. Saya cuba membawanya ke Roma tetapi ketika itu kami sudah memiliki pemain seperti Francesco Totti, Antonio Cassano, Gabriel Batistuta, Vincenzo Montella dan Marco Delvecchio.

"Pada awalnya, saya mendapati dia agak lemah di hadapan gawang, terutama cuba melakukan jaringan.

"Dia lebih gemar membuat bantuan jaringan daripada menjaringkan gol.

"Dia memiliki skil sehebat Van Basten, jadi saya menyuruhnya menonton video pemain itu bagi menajamkan penyudahnya.

"Ibra merupakan pemain yang sangat merendah diri dan tidak pernah letih memperbaiki permainannya. Dia juga bangga dengan dirinya, dia gemar menjadi pemain yang terbaik."