Jose Mourinho tidak berasa tertekan untuk memacu kejayaan Manchester United musim ini, dengan pengurus berbangsa Portugis itu berasa optimis dengan peluang pasukannya dalam Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara.

Musim pertama Mourinho di Old Trafford menyaksikan United berkesudahan di tangga keenam dalam liga walaupun mereka meraih trofi Liga Europa dan Piala EFL.

Bersama Romelu Lukaku, Nemanja Matic dan Victor Lindelof kini di United, Mourinho bersemangat menghadapi musim baru, bermula dengan menentang West Ham hari ini.

“Satu-satunya yang perlu saya lakukan ialah bekerja setiap hari seperti yang biasa saya lakukan dan satu-satunya tuntutan ke atas saya adalah apa yang saya letakkan ke atas diri sendiri,” katanya.

"Saya tidak mengenakan sebarang tekanan tambahan ke atas diri sendiri kerana saya akan memberikan segala-galanya, kemudian biasanya keputusannya adalah baik hasil segala kerja-kerja itu.

“Dedikasi saya terhadap tugas sentiasa di tahap maksimum, malah lebih lagi sekarang daripada ketika saya bermula. Dan saya percaya pada penghujung musim, kita akan melihat hasilnya.”

Mourinho menambah: “Dengan pemain-pemain ini, saya akan menghadapi musim baru dengan lebih optimis, dengan keghairahan dan saya tidak sabar menanti Liga Juara-Juara untuk bermula dan peluang berdepan kelab-kelab utama.

“Saya benar-benar sedang membara.”

United membelanjakan £75 juta (RM417 juta) untuk mendatangkan Lukaku dari Everton manakala Lindelof tiba dengan tanda harga sekitar £30 juta (RM167 juta).

Mengatasi segala-galanya, kejayaan menandatangani pemain tengah Chelsea, Matic, amat menggembirakan Mourinho.

“Ketika saya mula tiba di United, saya dapat lihat kami memerlukan pemain seperti Matic tapi tidak terdapat ramai sepertinya. Kini saya amat gembira dapat memilikinya.”