Pengurus sementara Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, berkata caranya mengurus pasukan diinspirasikan daripada pengurus legenda pasukan itu, Alex Ferguson.

Solskjaer akan mengemudi The Red Devils sepanjang baki musim ini.

Bekas penyerang United itu disahkan sebagai pengurus sementara pasukan itu 24 jam selepas Jose Mourinho dipecat pihak pentadbiran pasukan.

Solskjaer menghabiskan 11 tahun di bawah kendalian Ferguson dengan memenangi enam kejuaraan Liga Perdana Inggeris, dua kali juara Piala FA dan menjaringkan gol kemenangan ketika aksi final Liga Juara-Juara Eropah yang memberikan kejuaraan 'treble' buat United pada 1999.

"Saya mendapatkan gaya pengurusan pasukan daripada Ferguson," katanya kepada MUTV.

"Beliau merupakan pengaruh terbesar dalam karier saya.

"Namun, saya masih berbeza.

"Saya perlu menjadi diri saya.

"Saya gemar untuk bercakap, mendekati dan mendengar luahan setiap individu.

"Saya mahu mendengar luahan setiap orang.

"Ia akan membuatkan saya gembira.

"Boss (Ferguson) sentiasa mempunyai nilai tertinggi dalam mengurus pasukan.

"Terlalu banyak sejarah United berkait rapat dengannya," tambahnya.

Ujian pertama Solskjaer selaku pengurus United adalah menentang bekas pasukan yang pernah dibimbingnya, Cardiff City, dalam saingan Liga Perdana Inggeris, awal pagi Isnin ini.