Eden Hazard berkata dia perlu berpindah ke rumah yang lebih besar agar dia memiliki lebih ruang untuk menyimpan segala trofi yang pernah diraihnya.

Hazard meraih anugerah Gol Terbaik Liga Perdana Inggeris bulan ini, semalam, atas jaringan solonya berdepan Arsenal pada 4 Februari lalu.

Pemain Belgium itu turut dinobat Pemain Terbaik Liga Perdana Inggeris bagi musim 2014-15, di mana dia turut mengutip anugerah Pemain Terbaik PFA dan Persatuan Penulis dalam tahun sama.

"Secara jujurnya, saya tidak tahu," jawab Hazard ketika ditanya di mana dia menyimpan semua trofi itu oleh Chelsea TV.

"Ada yang saya hadiahkan kepada orang lain, ayah saya ada memegang beberapa trofi.

"Mungkin saya perlu berpindah ke rumah yang lebih besar. Saya bergurau sahaja."

Hazard teruja kerana dapat meledak gol berdepan Arsenal, ia merupakan satu antara 11 gol yang telah dijaringkannya musim ini bagi membantu Chelsea berada di persada liga dengan kelebihan 10 mata.

"Ia saat yang istimewa dapat menjaringkan gol berdepan Arsenal di Stamford Bridge," katanya.

"Kami mengutip tiga mata dan itu adalah saat yang cukup penting.

"Ketika itu saya bernasib baik dapat melakukan jaringan dengan kaki kiri saya tetapi dalam bola sepak, kamu perlukan nasib untuk menang."