Moussa Sissoko berkata dia memerlukan masa untuk menyesuaikan diri di Tottenham tetapi pemain tengah Perancis itu menegaskan dia kini sudah biasa dengan kehidupan di White Hart Lane.

Tottenham memecahkan rekod kelab mereka untuk membawa Sissoko ke London dari kelab yang tersingkir, Newcastle United, bagaimanapun, pemain antarabangsa Perancis itu bergelut untuk membuktikan pembeliannya satu pelaburan yang berbaloi.

Pengurus, Mauricio Pochettino, telah mengkritik Sissoko sebelum ini, dengan berkata pemain berusia 27 tahun itu tidak layak untuk dipilih.

Sissoko yang kini dilihat mula mendapatkan sentuhannya di Tottenham berikutan prestasi yang mengagumkan dalam kemenangan 3-0 ke atas Hull City, telah memberi impak sebagai pemain gantian ketika menentang Manchester United minggu lalu.

"Bagi saya, apa yang dikatakan oleh pengurus adalah apa yang dia fikirkan," kata Sissoko. "Tetapi bagi saya semuanya sama, saya datang menjalani latihan dan cuba untuk memberikan yang terbaik.

"Saya tahu apa yang saya boleh lakukan untuk pasukan. Saya tahu tahap keupayaan saya.

"Saya hanya memerlukan masa untuk bersedia dalam segala-galanya kerana ia merupakan satu perubahan besar kepada saya. Sekarang saya faham segala-galanya dan ia akan menjadi lebih baik untuk saya."

"Kualiti yang ditetapkan dalam sesi latihan kini menjadi lebih tinggi. Gaya bagaimana dia mahu kami bermain dan banyak perkara lagi," tambah Sissoko.

"Apa yang kami lakukan dalam latihan, ia merupakan satu perubahan yang besar. Setiap pengurus mempunyai gaya latihan tersendiri, jadi sekarang saya memahami segala-galanya."

Tottenham kembali beraksi di laman sendiri menentang Burnley dalam aksi Liga Perdana Inggeris lusa.