Jack Wilshere masih belum dapat memutuskan hala tuju masa depannya selepas musim ini dan menjadikan kekerapan beraksi sebagai agenda utamanya.

Perancang tengah itu dipinjamkan ke Bournemouth dari Arsenal untuk sepanjang kempen ini dengan kontraknya di Stadium Emirates bakal berakhir hujung musim ini.

Arsenal mahu Wilshere menandatangani perjanjian baru, bagaimanapun pemain berusia 25 tahun itu -- yang membuat 19 penampilan bersama Bournemouth dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) -- mahu memastikan dia diberi peluang untuk bermain setiap minggu.

"Saya memberi tumpuan kepada prestasi sendiri dalam tiga hingga empat bulan berikutnya, kemudian saya belum pasti apa yang akan berlaku," katanya kepada Sky Sports.

"Pada hujung musim nanti, saya akan membuat penilaian, peluang beraksi akan menjadi faktor terbesar (membuat keputusan).

"Saya perlu beraksi, sebab itulah saya hadir di sini. Bournemouth memberi saya peluang tersebut.

"Pada hujung musim nanti, kita akan menilai pencapaian saya di Bournemouth. Saya akan menikmati cuti beberapa hari sambil memikirkannya."

Wilshere turut menjelaskan dia menyerahkan kepada ejennya untuk mengadakan rundingan dengan pengurusan Arsenal untuk kontrak baru.

Ini kerana dia mahu fokus untuk membantu Bournemouth kekal dalam saingan EPL musim depan.

Bournemouth gagal memenangi sebarang perlawanan dalam lima aksi terakhir. Mereka kini menghuni tangga ke-14 dan akan menyambut Manchester City, minggu ini.