Saya pengendali paling teruk buat Balotelli -- Rodgers

By Amirul Azreen 18 November 2016
Saya pengendali paling teruk buat Balotelli -- Rodgers

Bekas pengendali Liverpool, Brendan Rodgers mengakui kenyataan Mario Balotelli yang melabelkan dirinya selaku pengurus paling teruk pernah dikenalinya, adalah tepat.

Rodgers membawa masuk Balotelli dari AC Milan pada Ogos 2014, namun pemain antarabangsa Itali itu gagal menemui sentuhan terbaiknya sebelum pulang ke San Siro setahun kemudian.

Rodgers yang kini mengendalikan Celtic, mengharapkan bekas pemain Manchester City dan Inter Milan itu -- yang kini beraksi bersama Nice dalam Ligue 1 -- kembali menemui prestasi terbaiknya.

Ditanya berkenaan dengan komen pemain berusia 26 tahun itu, Rodgers memberitahu talkSPORT: "Kenyataan itu adalah tepat, saya gagal membentuknya menjadi pemain yang diharapkan.

"Dia tiba di hujung musim perpidahan. Pembeliannya adalah satu risiko.

"Dia seorang pemain yang berbakat besar. Kami mengharapkan dapat membentuk dia menjadi pemain yang bagus.

"Ketika di atas padang, dia sentiasa memberikan yang terbaik tetapi kerjasama kami tidak membuahkan hasil seperti yang diharapkan.

"Pada saya, dia mampu menjadi pemain terbaik dunia.

"Tetapi kini dia berada di sebuah kelab yang bagus, mungkin ini peluang terakhirnya. Jadi, saya harap segalanya akan berjalan dengan lancar."

Balotelli telah meledak tujuh gol daripada sembilan penampilan bersama Nice musim ini manakala Celtic kini mendahului saingan Liga Scotland dengan kelebihan 10 mata.

About Author

Amirul Azreen

Comment