Claudio Ranieri menegaskan bahawa dia masih calon tepat untuk memimpin Liecester City meskipun tewas buat kali kelima berturut-turut semalam, kecundang 2-0 di tangan Swansea City dalam aksi Liga Perdana Inggeris.

Penyandang juara Liga Perdana Inggeris itu jatuh ke kedudukan ke-17 dan hanya satu mata di hadapan zon penyingkiran selepas tewas di Stadium Liberty.

Ranieri telah diberikan undi percaya oleh pihak pengurusan minggu ini, namun ia tidak mengurangkan segala tekanan yang diletakkan terhadapnya.

Leicester turut menjadi penyandang juara pertama yang gagal meledak gol dalam enam perlawanan berturut-turut.

Bagaimanapun, Ranieri optimis dengan kemampuannya untuk mengubah nasib kelab itu musim ini.

"Saya masih calon yang tepat untuk mengemudi kelab ini," ujar Ranieri ketika sesi sidang media.

"Saya sering saja mempersoal diri saya tetapi saya tahu kami mampu melakukan sesuatu.

"Pada saya, kami perlu mencari keseimbangan, kami tidak boleh kecundang ketika tewas, dan tidak boleh terlalu meninggi diri ketika menang.

"Tidak salah untuk mengingati kejayaan musim lepas tetapi kami perlu kekal merendah diri.

"Saya tidak rasa pemain telah hilang keyakinan. Mendengar luahan mereka, saya tahu mereka mahu bangkit.

"Tetapi kami perlu mencari jalan penyelesaian dengan kadar segera."