Alexis Sanchez memberi bayangan jelas untuk meninggalkan Arsenal dengan mengesahkan keinginannya untuk bermain dalam Liga Juara-Juara Eropah.

Arsenal terlepas kelayakan untuk kejohanan kelab elit Eropah buat kali pertama dalam tempoh 20 tahun selepas menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di tempat kelima musim lalu.

Sanchez meledak 24 gol liga tetapi semakin kecewa di Stadium Emirates, terutama ketika Arsenal diaibkan 10-2 oleh Bayern Munich dalam Liga Juara-Juara.

Dan pemain antarabangsa Chile berusia 28 tahun itu, yang mempunyai baki setahun dalam kontrak bersama Arsenal, mengumumkan niat buat kali pertama dalam satu temubual sebuah stesen televisyen di tanah airnya.

"Saya mahu bermain dalam Liga Juara-Juara," kata Sanchez kepada Canal 13. "Keputusan itu tidak bergantung kepada saya, saya perlu menunggu Arsenal."

Arsene Wenger menafikan laporan Sanchez telah bersetuju dengan kontrak baru ketika bercakap dengan media hari ini selepas kemenangan Arsenal ke atas Sydney Western Wanderers dalam aksi pra-musim.

Tetapi jurulatih berbangsa Perancis itu "positif" mengenai perbincangan dengan Sanchez, yang bercuti selepas membantu Chile ke final Piala Konfederasi, di mana mereka ditewaskan oleh juara dunia, Jerman, 1-0.

Manchester City dikaitkan untuk membawa masuk Sanchez, dengan Bayern Munich dan Paris Saint-Germain (PSG) juga dalam kalangan kelab Eropah yang dilaporkan mempertimbangkan untuk membuat tawaran.