Bintang Manchester United, Zlatan Ibrahimovic, menerima hakikat bahawa dia mungkin dihukum kerana menyiku pemain Bournemouth, Tyrone Mings.

Penyerang itu menggunakan siku untuk menyekat Mings ketika kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris, Sabtu lalu.

Sebelum itu, Mings dituduh memijak kepala Ibrahimovic tetapi kedua-duanya mendakwa kejadian tersebut tidak sengaja.

Dengan Persatuan Bola Sepak Inggeris (FA) dijangka mengambil tindakan selanjutnya, Ibrahimovic lebih bersedia untuk menerima penggantungan.

"Saya menghormati setiap keputusan," kata pemain berusia 35 tahun itu.

"Saya di sini bukan untuk menyerang sesiapa. Tujuan saya bukanlah untuk berbuat demikian."

Ibrahimovic gagal menyempurnakan sepakan penalti pada separuh kedua ketika United menentang Bournemouth, menyebabkan skuad Jose Mourinho berada di tangga keenam dalam liga.

Mereka berada 14 mata di belakang pendahulu liga, Chelsea, dan tiga mata di belakang pasukan di tempat keempat, Liverpool.

Penggantungan terhadap Ibrahimovic mugkin menjadi tamparan buat United, dengan penyerang itu telah meledakkan 26 gol dalam 39 perlawanan dalam semua kejohanan pada musim pertama yang mengagumkan di Old Trafford.