Saya gagal jika City tiada trofi musim ini -- Guardiola

By Amirul Azreen 11 March 2017
Saya gagal jika City tiada trofi musim ini -- Guardiola

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, menyedari pasukan kendaliannya akan dianggap gagal musim ini jika tidak dapat meraih sebarang piala.

Guardiola tiba di England dengan jangkaan mampu menghadirkan piala selepas meraih pelbagai kejuaraan bersama Barcelona dan Bayern Munich.

City bakal berdepan Middlesbrough dalam suku akhir Piala FA, malam ini, dan masih dalam landasan untuk mara ke suku akhir Liga Juara-Juara sementara peluang mereka dalam saingan Liga Perdana Inggeris semakin tipis.

Menyedari akan diadili pada hujung musim, dia perlu menghadirkan sekurang-kurangnya satu piala musim ini.

"Saya telah meletakkan piawaian tinggi ketika bersama Barcelona dan Bayern Munich. Saya perlu menggalas cabaran itu," dia memberitahu akhbar UK.

"Saya sedar segalanya ditentukan berdasarkan kejuaraan yang kami peroleh. Saya sedar. Tiada trofi akan menandakan kegagalan.

"Untuk kekal lama di sini, saya perlu menghadirkan kejuaraan. Berapa lama seseorang itu kekal sebgai seorang pengurus bergantung kepada kejayaan.

"Tetapi saya percaya keputusan positif akan hadir berdasarkan cara kamu bermain. Kerana itulah saya perlu yakin kami bermain dengan baik saban hari."

Guardiola meraih tiga kejuaraan liga berturut-turut ketika mengendalikan Barcelona dan Bayern Munich.

Bagaimanapun, dia gagal membawa Bayern meraih sebarang kemashyuran Liga Juara-Juara sepertimana dilakukan ketika di Sepanyol.

Jurulatih berusia 46 tahun itu berkata ketiadaan trofi kejohanan elit Eropah dalam kabinet Bayern bermakna dia gagal dalam melaksanakan tugasnya.

"Tempoh saya di Munich bagaikan satu bencana kerana gagal menghadirkan kejuaraan Liga Juara-Juara.

"Kami meraih tiga kejuaraan liga berturut-turut dan dua Piala Jerman tetapi tanpa Liga Juara-Juara, ia masih dianggap sebagai satu kegagalan," jelas Guardiola.

About Author

Amirul Azreen

Comment