Pengurus Tottenham, Jose Mourinho, menjangkakan sambutan hangat daripada penyokong Manchester United dalam aksi awal pagi esok tetapi menegaskan masanya bersama kelab itu sudah berakhir.

Mourinho dipecat United pada penghujung tahun lalu selepas dua setengah musim di mana beliau membimbin pasukan menjuarai Piala EFL dan meraih slot automatik ke Liga Juara-Juara (UCL) dengan memenangi Liga Europa (UEL).

Pengendali kelahiran Portugal itu kembali ke bidang pengurusan 20 November lalu, dengan mengambil alih Tottenham sehari selepas Mauricio Pochettino disisihkan oleh kelab London Utara itu.

Beliau telah memacu tiga kemenangan berturut-turut dalam kesemua kejohanan sejak dilantik dan bakal berdepan bekas pasukan kendaliannya, United, dalam saingan EPL awal pagi esok.

Mourinho -- yang sebelum ini kembali ke Old Trafford sebagai penganalisis televisyen musim ini -- mengimbau kenangannya bersama pasukan itu, namun menjelaskan fokusnya adalah bersama Tottenham.

"Di antara saya dan United sudah berakhir," katanya. "Saya meninggalkan kelab dan mengambil masa untuk menilai segala perkara yang berlaku.

"Saya mengambil masa untuk membuat persediaan sebelum menghadapi cabaran seterusnya. Sejujurnya, Manchester United kini berada dalam buku pengalaman saya; kekal dalam kenangan saya.

"Saya berasa sangat baik. Saya gemar bermain dalam perlawanan yang besar, saya gemar berdepan pasukan terbaik dan itu adalah perkara paling penting.

"Kembali ke Old Trafford adalah kembali ke tempat di mana saya meraih kegembiraaan. Saya boleh katakan saya gembira di sana. Saya memiliki hubungan yang baik bersama penyokong Manchester United.

"Saya kembali sebagai 'pundit', di mana ia adalah perspektif yang berbeza. Saya sangat terharu dengan sambutan yang diberikan.

"Esok saya akan kembali ke sana bersama pasukan yang akan cuba mengatasi Manchester United dan ia mungkin memberikan satu lagi perspektif berbeza."

Tottenham mengesahkan penjaga gol, Hugo Lloris, dan Michel Vorm diketepikan ekoran kecederaan siku dan betis manakala Ben Davies (buku lali) dan Erik Lamela (hamstring) turut terlepas kunjungan ke Old Trafford.