Bintang terpinggir Chelsea, Diego Costa, memberi kenyataan pedas buat ketua jurulatih, Antonio Conte, dan menuduh juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu melayaninya seperti seorang penjenayah.

Costa merupakan penjaring terbanyak Chelsea dengan 20 gol ketika mereka mengesahkan gelaran liga buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun, musim lalu, namun Conte memaklumkan kepada pemain Sepanyol itu bahawa dia tiada dalam perancangannya.

Tindakan itu mencetus situasi tegang, dengan Costa mendakwa Conte menyingkirkannya menerusi pesanan teks ketika dia sedang dalam tugasan antarabangsa pada Jun lalu.

Chelsea kekal dengan pendirian bahawa pemain berusia 28 tahun itu sudah dimaklumkan dengan perancangan mereka sejak Januari lalu susulan minat daripada Tianjin Quanjian dalam kancah Liga Super China.

Costa yang berada di tempat kelahirannya di Lagarto, Brazil, di mana akhbar United Kingdom (UK), Daily Mail, berjaya menjejakinya ketika sedang bersama keluarganya menonton kekalahan mengejut 3-2 The Blues kepada Burnley.

Costa kekal dengan pendirian memilih untuk kembali ke Atletico Madrid di mana di sebalik dia didenda kerana keengganan kembali ke Chelsea dan berlatih dengan skuad simpanan.

"Saya tidak dibenarkan memasuki bilik persalinan skuad utama dan saya langsung tidak boleh menghubungi pemain skuad utama," katanya.

"Saya bukannya penjenayah! Saya tidak fikir ini adil dan layak diperlakukan seperti ini.

"Mereka memberikan saya cuti tambahan selama seminggu (sesi latihan pra-musim), namun sejak itu saya didenda.

"Mereka mahu saya berlatih dengan pasukan simpanan. Saya tidak akan melakukannya. Saya bukannya penjenayah dan saya tidak melakukan apa-apa kesalahan.

"Kalau mereka mahu mendenda saya, biarkan."

Atletico dikenakan hukuman larangan mengikat sebarang pemain yang menghalang Costa untuk beraksi bersama mereka sehingga Januari depan tetapi penyerang itu sanggup diketepikan asalkan dapat keluar dari Chelsea.

"Saya sanggup duduk tanpa beraksi di Brazil biarpun Chelsea menghukum saya selama setahun pun dan tidak membayar saya," ujarnya lagi.

"Saya akan kembali dengan lebih hebat. Kalau saya berbuat salah, saya akan kembali sekarang juga dan mematuhi arahan mereka.

"Keinginan saya adalah untuk kembali ke Atletico. Saya sudah bercakap dengan Pengarah Chelsea, Marina Granovskaia.

"Saya berkata kepadanya, 'kalau pengurus tidak mahukan saya, saya ingin ke Atletico Madrid'.

"Saya menolak tawaran-tawaran lain. Mereka mahu menjual saya ke China atau ke pasukan lain.

"Kalau saya pergi, saya mahu menyertai kelab yang saya ingin wakili -- bukannya kelab yang membayar harga paling tinggi."

Costa mendedahkan dia hampir memeterai kontrak baru di Stamford Bridge dan menuduh Conte menghalang langkah itu.

Sehubungan itu, dia tidak nampak akan berdamai dengan pengurus berbangsa Itali itu yang membawa masuk Alvaro Morata sebagai pemain termahal kelab.

"Ideanya sangat tegas dan jelas," kata Costa mengenai Conte.

"Saya tahu bagaimana orangnnya dan dia tidak akan mengubah pendiriannya.

"Saya menghormatinya sebagai jurulatih hebat. Dia melaksanakan tugas dengan bagus, namun sebagai individu, tidak.

"Dia tidak mesra dengan pemain. Dia tidak menunjukkan karisma."

Costa juga terkilan kerana masa depannya dimaklumkan menerusi pesanan teks dan bukannya secara berdepan.

"Saya berang pada ketika itu. Sekarang saya sudah bertenang. Saya belum memadam mesej itu. Kalau orang menuduh saya menipu, saya boleh membuktikannya."