Pemain baru termahal Barcelona, Philippe Coutinho, mengucapkan salam perpisahan kepada penyokong Liverpool selepas merealisasikan impian perpindahannya ke Camp Nou, semalam.

Kelab gergasi Catalan itu mengumumkan telah memeterai perjanjian dengan Coutinho pada Sabtu lalu dan pemain Brazil berkenaan menjalani rawatan perubatannya serta secara rasmi menandatangani kontrak, dua hari kemudian.

Pemain tengah itu dilaporkan menyertai Barca dengan perpindahan bernilai €160 juta (RM766.7j) , sekaligus menjadikan dia pemain ketiga termahal dalam sejarah selepas Neymar dan Kylian Mbappe.

Penampilan Coutinho di Barca bakal tertangguh ekoran kecederaan paha yang dialaminya ketika ini, namun pemain berusia 25 tahun itu dilaporkan telah mengeluarkan sebanyak £10j (RM54.3j) wangnya sendiri untuk membantu proses perpindahannya.

Sebaik selesai mengesahkan perhijrahannya ke pendahulu LaLiga itu, Coutinho mengucapkan selamat tinggal kepada Liverpool, peminat, kakitangan dan pengurus kelab, Jurgen Klopp, melalui akaun Instagram rasminya.

"Semenjak tiba di Liverpool, saya dan keluarga berasa sangat gembira dan memiliki ramai kawan," kata Coutinho.

"Di lapangan dan di luar padang, kami melalui keindahan di kelab ini dan peminatnya. Saya berharap berjaya menyampaikan kenangan dan detik yang membawa kebahagiaan kepada penyokong Liverpool.

"Berpindah ke Liverpool, saya tahu kehebatan dan sejarah kelab ini tetapi apa yang saya pelajari adalah keunikan hati dan jiwa di sana, ia mempunyai personaliti dan wataknya sendiri," ujarnya.

Coutinho menjaringkan 41 gol dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) sepanjang dia berada di Anfield, begitupun pemain tengah itu menegaskan dia tidak dapat menolak peluang ke Barcelona.

"Saya meninggalkan Liverpool kerana Barcelona adalah impian saya," kata Coutinho. "Liverpool adalah impian dan saya cukup beruntung untuk menyedarinya dan saya diberi masa lima tahun untuk memburunya.

"Saya berharap kerjaya di Barcelona bertahan lama seperti mana saya di Liverpool kerana saya mahukan pengalaman itu dan menikmatinya ketika saya cukup bertuah dapat melakukannya.

"Saya berharap penyokong memahami bahawa saya memilih untuk berhadapan dengan sesuatu yang baru bukanlah disebabkan mereka kurang menunjukkan sokongan kepada saya atau kepentingan kelab. Tiada apa-apa pun yang akan menggugat perasaan saya.

"Saya berharap Jurgen dan pasukannya tidak akan apa-apa selain kegembiraan dan kejayaan sepanjang musim ini dan seterusnya. Ini adalah pasukan yang hebat dan mereka semakin baik dan lebih baik sepanjang masa.

"Terdapat terlalu ramai orang yang ingin saya sebutkan tetapi saya tidak boleh menamakan setiap orang secara individu. Kepada semua kakitangan mengagumkan di kelab ini yang telah menjadi sebahagian daripada hidup saya di Liverpool, saya akan merindui anda.

"Buat pemilik kelab yang berusaha keras untuk menghadirkan kejayaan, terima kasih kerana menaruh kepercayaan kepada saya sehingga membawa saya ke sini serta memberi penghargaan kepada saya sepanjang perjalanan itu.

"Dan rakan sepasukan saya, masa lalu dan semasa yang telah membantu saya berkembang dan bertambah baik sebagai seorang pemain dan individu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada anda semua. Apa sahaja yang saya telah dapati di sini mungkin tidak berlaku tanpa anda.

"Dan akhir kata, kepada orang yang paling penting di Liverpool -- penyokong Liverpool -- saya tidak dapat membalas apa yang telah anda berikan kepada saya pada masa ini.

"Ttidak kira ke mana saya pergi di dunia ini, sepanjang hayat saya, saya akan sentiasa menghargai Liverpool di dalam hati saya. Anda, kelab dan bandar ini akan sentiasa menjadi sebahagian daripada saya.

"'You'll Never Walk Alone'.

"Philippe."