Paul Pogba berkata dia akan sentiasa memberikan yang terbaik kepada peminat Manchester United dan rakan sepasukannya "tidak kira apa yang sedang berlaku" dalam akaun Instagramnya selepas kemenangan 2-1 ke atas Leicester City di Old Trafford, awal pagi tadi.

Pogba memakai lilitan kapten dan menjaringkan sepakan penalti dalam prestasi yang mengagumkan ketika United membuka kempen Liga Perdana mereka dengan kemenangan berdepan Leicester.

Pemenang Piala Dunia bersama Perancis di Russia 2018, Pogba dikaitkan dengan juara LaLiga, Barcelona, dan bekas kelabnya, Juventus, berikutan musim yang sukar di bawah pengurus United, Jose Mourinho.

Kemenangan itu mengurangkan kekecewaan Mourinho berikutan kegagalan United untuk memenuhi tuntutan perpindahannya tanpa tonggak yang mengikut jejak langkah Fred, Diogo Dalot dan Lee Grant di Manchester selepas bos Portugal itu meminta sekurang-kurangnya dua lagi pemain sebelum tarikh akhir kelmarin.

Selepas membantu kemenangan United walaupun hanya kembali ke latihan pada Selasa lalu, Pogba memuat naik satu foto disertakan kapsyen: "Saya akan sentiasa memberikan yang terbaik kepada peminat dan rakan sepasukan saya tidak kira apa yang terjadi pada #pogfeelings".

Pogba menyudahkan penalti pada minit ketiga untuk menyemarakkan semangat di Old Trafford di mana Leicester bertindak balas dengan baik dan menyaksikan tempoh menarik sebelum Luke Shaw menggandakan jaringan ketika baki perlawanan tujuh minit.

Jamie Vardy bangkit dari bangku simpanan dan menjaringkan gol pada minit ke-92 tetapi United meraih tiga mata, dan dengan Piala Dunia sudah dicapainya, pemain bintang tengah, Pogba, menyasarkan lebih banyak piala.

"Saya tidak akan cukup dengan Piala Dunia," kata Pogba kepada Sky Sports. "Saya tahu ia satu piala yang hebat, ia akan kekal dalam fikiran saya, tetapi saya mahu memenangi semua trofi. Saya belum lagi memenangi Liga Perdana, saya tidak memenangi Liga Juara-Juara, saya tidak memenangi Euro dan masih banyak lagi untuk dimenangi.

"Itu (Piala Dunia) pada masa lalu, ia adalah sebahagian daripada sejarah. Saya seorang yang sukakan cabaran dan ingin maju dan kamu perlu ketepikannya sekarang.

"Kamu perlu mengingatinya tetapi kamu perlu terus berusaha untuk menjadi lebih baik dan lebih baik kerana saya masih muda. Saya mahu maju dan bertambah baik dan saya mahu memenangi lebih banyak trofi.

"Kami harus memulakan Liga Perdana dengan kemenangan dan kami lakukannya hari ini. Kami tahu ia akan menjadi sukar kerana sebahagian daripada kami, termasuk saya sendiri, tidak mempunyai sebarang perlawanan sebelum musim.

"Saya kembali pada Selasa, jadi ia sangat sukar untuk kaki dan stamina tetapi kami bermain dengan baik, kami hanya mahu bangkit dan itu sahaja."