Saya akan pecahkan muka dia -- Mourinho

By Staff Writer 24 September 2016 82
Saya akan pecahkan muka dia -- Mourinho

Pengurus Manchester United, Jose Mourinho, menegaskan hubungannya bersama Arsene Wenger kini lebih 'bertamadun' meskipun kandungan terbaru biografinya menyatakan sebaliknya.

Wujud dakwaan dalam biografi terbaru Mourinho yang dikeluarkan minggu ini , dengan bekas pengendali Chelsea itu berkata: "Satu hari nanti saya akan terjumpa dia (Wenger) di luar padang dan saya akan memecahkan mukanya."

Kenyataan itu dianggap menghangatkan lagi permusuhan kedua-dua jurulatih itu yang sebelum ini terlibat dalam pergaduhan di tepi padang dan komen dalam sidang media di mana Mourinho melabelkan pengendali The Gunners itu sebagai seorang yang pakar dalam mencapai kegagalan.

Wenger, bagaimanapun, enggan memberi sebarang komen terhadap biografi tersebut di samping menekankan dia tidak berminat untuk membaca buku itu.

Sementara itu, Mourinho menegaskan dia tidak bercadang untuk memulakan pertelagahan baru dengan pengurus Arsenal itu.

"Tidak, saya ada menemui Wenger dua minggu lalu dan seperti individu yang beradab, kami berjabat tangan dan duduk di meja yang sama," katanya.

"Kami makan malam bersama-sama, bertukar pendapat dan berborak seperti biasa kerana kami manusia yang bertamadun.

"Lagipun, saya tidak berasa buku itu akan berada di dalam galeri sebaris dengan buku Shakespeare, jadi saya enggan memberi komen lanjut.

"Saya ulangi, penulis buku itu hanya cuba membuat duit. Saya tidak ada masalah dengan perkara itu."

About Author

Staff Writer

Comment