Penyerang Manchester United, Zlatan Ibrahimovic, menegaskan lebih banyak gol akan menyusul selepas dia merekodkan jaringan ke-20 dalam musim sulung di Old Trafford.

Pemain berusia 35 tahun itu meledak satu gol dalam kemenangan 3-0 ke atas Leicester City awal pagi semalam untuk merapatkan jurang dengan kelompok empat pasukan teratas kepada dua mata.

Ibrahimovic telah merekodkan 15 gol dalam 23 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) selain Liga Europa (dua gol), Piala Liga Inggeris (dua gol) dan Piala Sumbangsih (satu gol).

Bekas kapten Sweden itu mendedahkan kritikan yang dilemparkan dan cabaran baru di England telah mengangkat motivasinya dalam keadaan tinggi kerana dia mahu mencapai matlamat peribadinya musim ini.

"Saya mempunyai sasaran dalam minda saya tapi saya tidak mendedahkannya. Saya belum mencapainya lagi," kata Ibrahimovic kepada wartawan.

"Saya mempunyai sasaran peribadi, ia sesuatu yang saya amalkan setiap tahun dan ia bukan perkara baru buat saya.

"Saya masih menampilkan aksi terbaik dan menyumbang. Saya sudah menyumbat 20 gol dan mencipta tujuh bantuan gol. Setakat ini, statistik tetap sama seperti tahun-tahun lalu kecuali tahun lepas apabila ia di luar jangkaan!

"Saya masih memberi sumbangan dan memberikan yang terbaik serta menerima banyak sokongan daripada rakan sepasukan.

"Saya tahu ramai yang mengatakan saya tidak akan mampu menyumbat 20 gol tapi ia sesuatu yang fokuskan.

"Kami akan mengharungi perlawanan lagi, saya harap dapat menjaringkan lebih banyak gol lagi. Sasaran, kritikan, suasana tiba di EPL dan usaha menarik lebih banyak minat kepada EPL, kesemuanya memberi motivasi buat saya.

"Objektif utama saya adalah untuk membantu pasukan dan melakukan yang terbaik.

"Selepas itu, kita tunggu dan lihat."

United kekal di tangga keenam EPL dengan dipisahkan empat mata berbanding pasukan di tangga kedua, Tottenham Hotspur, dengan lima pasukan selain Chelsea bersaing hebat untuk merebut tiket Liga Juara-Juara.

"Kami kembali di landasan sebenar. Beberapa bulan lalu, jurangnya begitu besar dan kini ia semakin mengecil.

"Kami berjaya mengatasi diri sendiri. Jika kami memenangi perlawanan dan mengutip mata yang sepatutnya diraih, situasi kami mungkin berbeza sama sekali.

"Namun, semuanya baik-baik sahaja. Sekarang kami akan memantau pasukan lain dan berharap mereka tercicir mata.

"Kami perlu terus bekerja keras dan ingin berada dalam kelompok empat teratas dan bermain dalam Liga Juara-Juara.

"Untuk muncul juara mungkin sukar tapi itulah sasaran kami dan kami tidak akan berputus asa."