Ketua jurulatih Chelsea, Maurizio Sarri, mendakwa dia tidak mengetahui sebarang maklumat mengenai laporan mengatakan pasukannya sedang cuba mendapatkan Kepa Arrizabalaga menerusi rekod perpindahan dunia.

Penjaga gol Athletic Bilbao itu dikatakan semakin hampir untuk menyertai kelab Liga Perdana Inggeris itu selepas The Blues bersetuju untuk membayar klausa pelepasan yang bernilai EUR80 juta (RM378 juta).

Nilai itu akan menjadikan Arrizabalaga sebagai penjaga gol termahal dunia, memadamkan rekod yang dicipta Alisson Becker apabila berpindah daripada AS Roma ke Liverpool, bulan lalu.

Kehadiran Arrizabalaga juga akan memudahkan usaha Thibaut Courtois untuk menyertai Real Madrid tatkala pemain Belgium itu memasuki tahun terakhir kontraknya bersama Chelsea.

Dia juga tidak menyembunyikan hasrat untuk berpindah ke ibu negara Sepanyol itu di mana dia pernah beraksi di sana sewaktu dipinjamkan oleh Chelsea kepada Atletico Madrid di antara 2011 dan 2014.

Bagaimanapun, sewaktu bercakap dalam sidang media selepas penjaga gol, Robert Green, beraksi dalam penentuan sepakan penalti dalam kemenangan ke atas Lyon pada awal pagi tadi, Sarri tidak memberikan sebarang bayangan tentang Arrizabalaga atau Courtois.

"Saya tidak tahu ketika ini," kata Sarri.

"Saya mahu bercakap dengan kelab dan kami akan menentukannya. Saya berada di sini untuk bercakap tentang perlawanan.

"Saya menyaksikannya setahun yang lalu. Pandangan pertama saya mengatakan bahawa dia seorang penjaga gol yang sangat bagus. Sangat muda tetapi terlalu bagus."

Eden Hazard juga dikaitkan dengan perpindahan ke Madrid sebagai pengganti Cristiano Ronaldo selepas kapten Portugal itu menamatkan tempoh sembilan tahun di Santiago Bernabeu untuk berpindah ke Juventus.

Namun, walaupun pemain Belgium itu memberi bayangan dia terbuka untuk berhijrah ke Sepanyol, Sarri yakin Hazard akan kekal di Stamford Bridge.

"Saya tidak melihat masalah ini sekarang. Saya telah bercakap dengan Hazard dua atau tiga kali dalam dua hari terakhir.

"Dia menjelaskan segala-galanya. Saya fikir masalah tentang Hazard ini bukan sesuatu yang utama."

Hazard dilihat memakai lilitan ketua pasukan sewaktu dibawa masuk daripada bangku simpanan tetapi Sarri tampak belum bersedia untuk menentukan sama ada pemain sayap itu dilantik selaku kapten pasukan yang baru.

"Saya tidak tahu. Kami perlu berbincang tentangnya. Kami mahu bercakap dengan semua pemain.

"Saya akan menemui semua staf dan individu dalam kelab sebelum membuat keputusan. Namun, hari ini adalah hari pertama bersama semua pemain. Saya rasa saya perlu membuat keputusan yang terbaik untuk setiap pemain," katanya lagi.