Maurizio Sarri menyifatkan kesilapan yang dilakukannya sebelum ini sebagai sesuatu yang tidak mencerminkan perwatakan dirinya dan ia tidak akan membayanginya di Chelsea.

Pengendali baru skuad The Blues itu menemui pihak media buat kali pertama semalam dan menjawab beberapa soalan mengenai kontroversi melibatkan kariernya selaku pengurus di Itali.

Sarri, 59, dilabelkan sebagai seorang yang menjurus ke arah perkauman dan dikecam oleh pengendali Inter Milan, Roberto Mancini, susulan insiden melibatkan sentimen homofobia pada 2016.

Dia dikritik pada awal tahun ini selepas mengherdik wartawan wanita tetapi bekas ketua jurulatih Perugia dan Empoli itu tidak melihat kesilapan lalu menggugatnya.

"Tentu ada kesilapan. Saya rasa ia tidak mencerminkan diri saya, sama ada sebagai individu yang menjurus ke arah homofobia atau perkauman," katanya.

"Saya seorang yang terbuka. Saya tidak mempunyai masalah sebegitu dan diharapkan saya mampu membuktikannya apabila berkhidmat di sini.

"Ya, kesilapan itu dilakukan dan apabila seseorang melakukan kesalahan, mereka harus meminta maaf. Ia penting dalam mendapatkan etika dan sikap profesional.

"Saya harap anda akan lebih mengenali saya dan melupakan perkara itu," katanya.

Selepas meninggalkan Napoli, kehadiran Sarri dilihat menceriakan kem di Stamford Bridge berbanding ketika Chelsea di bawah kendalian Antonio Conte sebelum ini.

Pengurus dari Itali itu diberikan harapan agar dapat mempamerkan corak permainan yang lebih terarah kepada gaya Pep Guardiola berbanding Jose Mourinho.

"Mourinho telah memenangi banyak kejuaraan bersama pelbagai kelab, jadi saya rasa rekodnya tidak memerlukan apa-apa penjelasan. Kita sedang bercakap tentang pengurus bertaraf dunia.

"Saya menghormati Guardiola serta pengurus lain. Corak permainan saya hampir sama dengan Guardiola tetapi tetap menghargai kedua-duanya.

"Sasaran saya adalah mahu menikmati tempoh di sini dan bersaing dalam semua kejohanan sehingga aksi terakhir," tambahnya.