Kekecewaan pengurus Chelsea, Maurizio Sarri, dapat dilihat sebaik dia menuduh barisan pemainnya kekurangan motivasi ketika pasukan itu tewas 0-2 kepada Arsenal dalam saingan Liga Perdana Inggeris di Stadium Emirates, awal pagi tadi.

Alexandre Lacazette menghasilkan jaringan sensasi buat Arsenal pada minit ke-14 dan walaupun percubaan Marcos Alonso terkena palang selepas gol kemenangan Laurent Koscielny, Chelsea dilihat kurang "menyengat" dalam perlawanan itu.

Kesan kekalahan 1-3 kepada Tottenham Hotspur masih jelas dapat dirasakan Sarri yang turut ditemani seorang jurubahasa ketika diwawancara BT Sport bagi menyampaikan ketidakpuasan hatinya itu dengan jelas tanpa sebarang salah faham.

"Saya amat berang dengan pendekatan yang kami amalkan hari ini.

"Saya sedar kami berdepan pasukan yang hebat.

"Mereka sentiasa menyukarkan kami, namun pasukan saya sepatutnya memberikan reaksi yang jauh lebih baik," katanya.

Selepas menunda sidang media bagi mengadakan perjumpaan dengan pemain selepas tamat permainan di bilik persalinan, bekas pengendali Napoli itu menambah: "Ia merupakan tugas saya untuk menegur setiap pemain.

"Ia gaya permainan yang langsung tidak dapat diterima, sama seperti sewaktu kami berdepan Tottenham.

"Kami sangkakan sudah menemui penyelesaian terhadap masalah pemain yang kurang bermotivasi, namun ia berlaku sekali lagi.

"Saya tidak kisah jika kami kalah, namun saya amat marah kerana kami kalah dengan cara seperti ini," tambahnya.

Chelsea kekal di tangga keempat liga yang menjamin tempat ke Liga Juara-Juara Eropah.

Namun, mereka kini hanya berkelebihan tiga mata di depan Arsenal dan Mancester United.