Gianfranco Zola yakin Maurizio Sarri adalah individu tepat untuk memacu kejayaan buat Chelsea, namun memerlukan kesabaran dan sokongan.

Zola, yang merupakan legenda The Blues, telah dinamakan selaku pembantu jurulatih di Chelsea selepas tamatnya era Antonio Conte.

Sarri telah menyatakan bahawa dia menyasarkan untuk menghadirkan kegembiraan di Stamford Bridge serta mempamerkan corak permainan yang lebih menghiburkan berbanding Conte.

Namun, memandangkan tuntutan tinggi yang ditetapkan oleh pemilik kelab, Roman Abramovich, Zola memberi amaran bahawa Sarri memerlukan masa untuk mengecapi kejayaan.

"Selagi semua orang di kelab memberi sokongan, menunjukkan kesabaran terhadapnya, saya pasti mereka akan meraih apa yang dimahukan," kata Zola.

"Saya sukakan cara pasukannya bermain bola sepak. Mereka sangat tersusun, bagus dalam bertahan serta dalam semua aspek.

"Saya sentiasa sukakan jurulatih yang menerapkan permainan sebegitu.

"Saya percaya bahawa falsafah ini adalah sesuatu yang diperlukan oleh kelab ketika ini. Saya rasa ia akan memberikan hasil yang bagus. Sarri mampu memberikan apa yang kelab mahukan."